Tutorial (Step By Step) Cara Bina Website Perniagaan Menggunakan WordPress

1

Perkembangan teknologi di Malaysia kini semakin hari semakin meningkat. Salah satu platform yang semakin meningkat pada hari ini adalah penulisan blog. Berapa banyak blog yang muncul di Malaysia sekarang? Kali ini saya akan berkongsi dengan anda tutorial (Step By Step) cara bina website perniagaan menggunakan wordpress.

Antara blog yang menjadi pilihan pengguna internet adalah siakapkeli.my, kongsiresepi.com, siraplimau.com dan banyak lagi. Dan percayalah semakin banyak blog yang sedang ditulis hari ini menunggu masa untuk dilawati oleh pembaca-pembaca blog.

Untuk pengetahuan anda, blog yang anda tulis boleh dijual dengan nilai yang sangat tinggi. Buktinya, satu syarikat besar iaitu Rev Asia telah membeli 3 portal dari Malaysia dengan harga RM2.65 juta iaitu siraplimau.com, kongsiresepi.com dan myresepi.com. Pernah tengok ketiga-tiga blog ini?

Pasti anda tertanya-tanya bagaimana blog yang hanya berkongsi maklumat secara percuma ini boleh membantu anda menjana duit?

Hari ini saya nak berkongsi dengan anda semua cara untuk menulis blog yang menarik dengan hanya menggunakan WordPress. Tutorial yang saya kongsikan ini merangkumi cara untuk menulis blog dan bagaimana untuk menjana duit menggunakan blog.

Step 1 – Cari Idea Untuk Blog Anda

 

Untuk menulis blog anda perlu memilih hanya satu niche. 

Blog anda perlu fokus kepada sesuatu yang spesifik bagi memudahkan pembaca memahami fungsi blog anda.

Anda tidak perlu mencari idea yang terlalu rumit sehingga memberi anda masalah untuk menulis blog. Cukup sekadar sesuatu yang anda minat dan unik dan boleh menarik pembaca membaca blog anda.

Untuk memastikan niche yang anda pilih adalah sesuai untuk blog anda, anda perlu cari jawapan untuk 2 soalan dibawah.

1 : Adakah anda gembira dengan topik yang anda pilih untuk ditulis diblog anda?

Bila anda memilih satu topik yang anda tidak suka, tulisan di blog anda juga akan kelihatan seperti tidak ikhlas. Ketika anda membuat kajian untuk mencari topik yang sesuai, topik yang paling banyak anda baca adalah topik yang paling sesuai dengan anda.

Anda tidak jemu untuk mendapatkan maklumat mengenai topik itu. Jangan mula menulis blog jika anda tidak minat dengan topik tersebut. Apa-apa topik yang anda pilih, anda perlu suka dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenai topik tersebut. Ini akan memudahkan anda ketika menulis blog dan bagi mengelakkan anda kekurangan idea untuk menulis blog.

Masih belum dapat idea apa topik yang sesuai dengan anda?

Cuba fikir apa yang menjadi kepakaran anda? Contohnya, apakah jenis masalah yang selalu kawan-kawan atau keluarga anda tanyakan kepada anda untuk dapatkan jawapan atau nasihat? Kalau saya sendiri, sudah semestinya soalan yang berkaitan dengan internet marketing. 

2 : Adakah topik anda itu mempunyai carian yang tinggi di Google?

Mungkin anda dah ada idea, tapi risau topik anda mungkin kurang carian di Google. Jangan risau. Anda boleh buat kajian di Google.

Caranya, anda hanya perlu Google topik untuk blog anda. Gambar dibawah menunjukkan terdapat 317000 post mengenai “penjagaan kucing”.  

Carian Google

Step 2 – Cari nama untuk blog anda

 

Nama untuk blog anda adalah sangat penting. Bila anda mula menulis blog, nama blog anda akan menjadi satu brand. Bila pelawat ingin mencari blog anda, nama blog inilah yang akan digunakan.

Sebelum anda mula menulis blog anda perlu selesaikan 2 perkara penting terlebih dahulu.

Yang pertama adalah domain name. Domain name adalah nama blog anda. Sebagai contoh, nama blog saya adalah fahdighazali.com. Yang kedua adalah web hosting. Web Hosting adalah satu servis yang membenarkan blog anda diakses di internet. Jadi apakah kepentingan kedua perkara ini?

Tanpa domain name, blog anda tidak akan mempunyai alamat dan tanpa web hosting blog anda tidak dapat diakses di internet. Jadi anda memerlukan kedua-dua domain dan web hosting untuk mula menulis blog. Di Malaysia, terdapat banyak syarikat yang menyediakan servis domain dan web hosting. Setiap syarikat akan tawarkan pelbagai pakej yang sesuai untuk blog anda.

Buat perbandingan antara syarikat-syarikat yang menawarkan servis ini sebelum anda membeli domain dan hosting.

Antara syarikat hosting yang saya sarankan:

  • https://billing.netkl.com/index.php
  • https://www.shinjiru.com.my/
  • https://www.exabytes.my
  • https://my.godaddy.com

Untuk permulaan menulis blog, anda hanya perlu dapatkan pakej basic, tapi bila blog anda mencapai pelawat yang sangat tinggi – 20,000 pelawat sebulan, anda perlu menaik taraf plan web hosting anda.

Dah ada idea untuk nama blog? Sebelum tu, dibawah saya ada senaraikan tips memilih nama domain yang sesuai:

  • Pastikan anda memilih .com. Domain yang berakhir dengan .com adalah lebih mudah untuk diingati.
  • Pastikan nama domain anda ada kaitan dengan niche blog anda. Cari keyword yang dapat membantu pembaca memahami blog anda dengan mudah dan cepat. Keyword yang betul juga boleh membantu Google membezakan blog anda dengan blog-blog yang lain.
  • Elakkan mengguna nombor atau hyphens(-).
  • Pastikan domain name anda tidak lebih dari 3 perkataan.
  • Jika anda ada brand sendiri, guna nama brand anda.
  • Cari domain name yang mudah untuk diingati.

Tapi! Domain yang anda inginkan juga berkemungkinan sudah tidak available. Maksudnya nama untuk blog yang anda pilih itu sudah dimiliki oleh orang lain. Jadi anda perlu cari domain yang masih available. Anda boleh semak domain anda disini http://www.checkdomain.com/.

Mencari domain yang sesuai mungkin agak sedikit sukar tapi jangan risau kerana mencari nama domain sama juga seperti anda mencari nama untuk brand baru untuk bisnes anda.

Step 3 – WordPress Installation

 

WordPress adalah satu platform yang boleh membantu anda untuk menulis blog. Blog fahdighazali.com ini juga menggunakan WordPress sebagai platform untuk menulis blog. Lebih kurang 74 juta website di internet menggunakan WordPress sebagai platform.

Kenapa WordPress?

WordPress direka untuk memudahkan pengguna membina website sendiri. Anda sendiri juga boleh membina satu website untuk bisnes anda menggunakan WordPress. WordPress juga mudah untuk dipelajari. Walaupun anda tiada pengetahuan mengenai website, anda hanya perlu ikut langkah dibawah untuk install WordPress. 

Selepas anda dapatkan domain dan hosting, log masuk ke akaun C Panel anda. Maklumat untuk log masuk biasanya akan dihantar ke emel anda selepas anda berjaya membuka akaun domain dan hosting.

Tutorial (Step By Step) Cara Bina Website Perniagaan Menggunakan WordPress

Cara Install WordPress

Klik ikon WordPress seperti di bawah.

Klik “Install Now”.

Seterusnya, skrol ke bahagian admin account.

Masukkan maklumat dibawah.

  • Admin Username
  • Admin Password
  • Admin Email **Tidak perlu ubah**

** Username dan Password ini akan digunakan ketika anda log masuk ke WordPress.

Skrol kebawah dan klik “Install”.

WordPress akan di install ke akaun anda.

Gambar dibawah menunjukkan WordPress sudah berjaya di install. Untuk log masuk ke akaun WordPress anda, klik link biru (Administrative URL).

Nota Tambahan

Untuk log masuk ke akaun wordpress

  • Anda perlu log masuk ke akaun WordPress anda setiap kali anda ingin mengubah website anda.
  • Untuk ke bahagian log masuk WordPress anda hanya perlu menambah /wp-admin pada domain name
    • Contoh : www.namadomain.com/wp-admin

 

Step 4 – Design blog anda menggunakan theme dari wordpress

 

Anda boleh mereka-bentuk blog anda mengikut kesesuaian dengan menggunakan theme yang disediakan oleh WordPress. WordPress menyediakan beribu-ribu theme yang juga terbahagi kepada 2 iaitu percuma dan berbayar. Menggunakan theme yang percuma sudah cukup untuk dapatkan satu blog yang menarik.

Biasanya anda akan mengambil masa yang lama untuk mencari theme yang sesuai tapi jangan risau, anda boleh mengubah theme untuk blog anda pada bila-bila masa.

Selepas log masuk ke wordpress, skrin anda akan menunjukkan dashboard untuk wordpress anda.

Mungkin bila pertama kali melihat dashboard anda akan ada masalah untuk memahami fungsi setiap butang menu di sebelah kanan skrin anda tapi jangan risau, dengan sedikit pengetahuan dan latihan anda akan menjadi pakar website WordPress.

Cara untuk menukar theme blog anda

Untuk menukar theme, letak cursor pada menu “Appearance” dan klik “Themes”.

Klik “Add New” dibahagian atas skrin anda untuk dapatkan senarai theme yang telah disediakan oleh WordPress.

Anda akan mengalami masalah kekeliruan disini kerana senarai yang dipaparkan adalah sangat banyak. Untuk membantu anda membuat pilihan dengan mudah, klik “Feature Filter”.

Skrin anda akan memaparkan 3 kategori yang berbeza iaitu “Layout”, “Features” dan “Subject”. Pilih yang bersesuaian dengan blog anda dan klik “Apply Filters”. Satu senarai theme akan dipaparkan di skrin anda.

Jika anda klik pada “Preview”, anda akan dapat lihat bagaimana blog anda akan dipaparkan. Jika anda pasti dengan pilihan theme anda, klik “Install” tapi jika belum berpuas hati anda masih boleh menukar theme yang lain dengan klik “X” dan pilih theme yang lain.

Klik activate untuk menukar theme kepada theme yang baru.

Jika anda kurang berminat dengan senarai theme yang disediakan oleh WordPress anda juga boleh dapatkan theme berbayar dari laman web seperti :

  • themeforest
  • studiopress
  • thrive themes

Dah dapat theme yang sesuai? Teruskan baca.

Step 5 – Menyesuaikan dan mengoptimumkan blog WordPress anda

 

Menyesuaikan Blog WordPress Anda

Terdapat pelbagai cara untuk anda menyesuaikan blog anda tapi untuk memudahkan anda, anda hanya perlu ubah beberapa perkara yang penting sahaja. Untuk mengubah keseluruhan blog, anda perlu luangkan sedikit masa.

Pernah tak anda tertanya-tanya bagaimana nak dapatkan website yang cantik? Susah ke nak buat?

Sebenarnya kalau anda membina website menggunakan WordPress, untuk mendapatkan satu website yang cantik tidaklah susah dan tidaklah senang. Untuk peringkat awal anda mungkin akan mengalami masalah kekeliruan dengan senarai menu yang banyak. Mana nak tekan? Menu ni untuk apa?

Jadi nak cepat faham, anda perlu try and error. Cuba klik pada menu-menu yang ada. Setiap kali anda ubah di bahagian WordPress, cuba lawati laman web anda. Bila anda tengok perubahan yang berlaku anda akan lebih cepat untuk faham apa fungsi tiap-tiap menu itu.

Berbalik kepada soalan tadi, macam mana nak bina blog yang menarik? Gambar gerak-gerak, susun post cantik-cantik dan macam-macam lagi.

Selain daripada menulis coding satu per satu (ini biasanya programmer yang buat) , ada satu features yang boleh membantu anda membina blog yang menarik. Features ni adalah PLUGINS.

Sebelum masuk cerita Plugins, kita sambung dulu cara untuk Customize blog anda.

Anda perlu klik pada butang “Customize” pada bahagian theme yang anda pilih tadi.

Di bahagian kiri skrin anda, satu menu akan dipaparkan. Menu ini adalah berbeza mengikut theme yang anda pilih. Tapi secara basic, menu setiap theme masih lagi sama. Perkara pertama yang anda perlu edit adalah “Site Identity”.

Bila anda klik “Site Identity”, anda perlu isi 2 maklumat penting iaitu “Site Title” dan “Tagline”. 

Apa fungsi 2 maklumat ni?

Ini juga bergantung kepada theme yang anda pilih. Ada theme yang akan paparkan 2 maklumat ini di Homepage blog anda tapi ada juga yang sebaliknya. Tapi yang pasti, kedua-dua maklumat ini akan dipaparkan di bahagian atas setiap kali anda membuka tab untuk blog anda.

Dah puas hati dengan “Site Title” dan “Tagline” anda? Sekarang anda perlu klik pada butang biru “Save & Publish” di bahagian atas.

Baik, sekarang blog anda dah ada nama. Kita teruskan lagi ye.

Mengoptimumkan Blog WordPress Anda Untuk Search Engine Traffic

Anda pernah dengar Search Engine Optimization atau SEO?

SEO adalah satu proses untuk menaikkan ranking website anda di carian Google. Tapi ranking blog anda ini bergantung kepada keyword atau phrase yang dimasukkan di carian Google.

Jika anda menulis blog yang panjang dan penuh dengan maklumat tetapi blog anda itu tidak dapat dicari oleh pembaca anda, perkara itu hanya akan merugikan anda. Jadi anda perlu pastikan website anda berada sekurang-kurangnya dihalaman pertama pada setiap carian di internet (Google,Yahoo,Bing, etc.).

Apabila website anda berada pada kedudukan yang tinggi, secara tidak langsung anda akan mendapat pelawat yang ramai dan akan membantu meningkatkan trafik website anda.

Jika anda masih baru dengan SEO, jangan risau kerana secara teknikal WordPress sudahpun membantu anda. Dengan hanya beberapa langkah bahagian teknikal akan selesai. Jadi, anda hanya perlu berusaha dalam menyediakan blog yang penuh dengan maklumat dan perkongsian.

Yang paling penting, anda perlu pastikan blog anda ini adalah satu blog yang dapat menyelesaikan masalah untuk niche yang anda pilih. 

Masih ingat pada PLUGINS?

Kali ini kita akan mula menggunakan plugins. Bagi pengguna WordPress, Plugins adalah satu feature yang boleh menyelesaikan pelbagai masalah. Nak dapatkan blog yang menarik anda perlu guna plugins. Nak bantu blog anda berada di ranking atas di setiap enjin carian juga perlukan plugins.

Mulakan dengan install satu plugins iaitu “Yeost SEO”. 

Anda perlu klik pada menu Plugins > Add New.

Cari ‘Yoast SEO’ pada kotak carian. klik ‘Install Now’ dan TEKAN ‘Activate’ bila plugin anda selesai dipasang.

Anda boleh buka setting ‘Yoast SEO’ samada melalui menu dibawah kiri atau ikon di bahagian atas.

Klik menu SEO. Isi nama website dan alternate website anda. Pilih samada anda adalah “Company” atau “Person”. Klik Save Changes.

Klik “Webmaster Tools” dan klik “Google Search Console”.

Sign In ke account gmail anda.

Selesai log in, klik “Alternate Methods” dan pilih “HTML tag”. Copy huruf dan nombor seperti gambar dibawah.

Paste kod yang anda copy pada langkah 7 kedalam kotak “Google Search Console” dan klik “Save Changes”.

“Google Search Console” adalah satu tools dimana anda menghantar blog anda untuk di indeks oleh carian Google.

Kembali ke tab emel anda. klik ‘Verify”.

Seterusnya klik tab “General”. Klik “Open the configuration wizard”.

Disini anda akan setting 10 langkah untuk mengoptimumkan blog anda. Skip langkah pertama (Welcome Screen) dan terus ke langkah ke 2. Klik pada “Production” seperti gambar dibawah. klik “Next”.

Untuk langkah 3, anda perlu memilih jenis website anda. klik ‘Blog”. klik “Next”.

Langkah 4 anda perlu memilih antara Company atau Person. Isi maklumat yang dikehendaki. klik “Next”.

Langkah 5 anda perlu isi URL/Username untuk akaun media sosial anda.

Langkah 6 tidak perlu diubah. klik ‘Next’.


Jika anda mempunyai ramai author untuk website anda, klik ‘Yes’ dan jika tidak klik ‘No’.

Klik ‘GET GOOGLE AUTHORIZATION CODE’.

Satu popup mesej akan keluar. klik ‘Allow’.

Pada langkah ke 9, anda perlu set bagaimana post anda akan dipaparkan di setiap search engine (Google,Yahoo,etc).klik ‘Next’.

Contoh

Sifudesign – 7 Cara Design Paling Meletup

Anda akan dipaparkan dengan satu page informasi. Page ini menunjukkan anda telah pun berjaya mengoptimumkan SEO untuk blog anda. Klik ‘Close’.

Setting terakhir untuk Yoast SEO adalah XML Sitemap. Bahagian ini akan membantu Google atau Yahoo untuk mencari post yang anda publish.

Kembali ke Dashboard Yoast SEO dan klik ‘Features’. Set ‘Advanced settings pages’ kepada enabled. klik ‘Save Changes’.

Satu menu akan dipaparkan disebelah kiri dashboard anda. klik ‘XML Sitemaps’.

Klik tab ‘User Sitemap’. Klik ‘enabled’ pada menu ‘Author / user sitemap’. Klik ‘Save Changes’.

Okay. Anda dah siapkan bahagian setting untuk plugins SEO. Dah mula pening? Sabar. Perjalanan cara membina blog yang menarik masih lagi panjang.

Cara setup permalinks

Permalinks anda satu hyperlinks yang statik dimana bila anda klik pada sesuatu link, anda akan dibawa ke page atau post yang tertentu.

Bila pembaca blog anda melihat blog anda dan link yang keluar adalah seperti diatas, pasti pembaca akan mengalami masalah untuk memahami tajuk post atau page yang mereka lawati.

Bawa tetikus anda ke menu “Settings’ dan klik ‘Permalinks’.

Terdapat pelbagai pilihan yang boleh anda boleh pilih. Untuk memudahkan anda memahami post atau page anda, klik ‘Post Name’. Dengan memilih post name, link yang akan dijana adalah sama seperti tajuk post anda. Klik ‘Save Changes’.

Jadi sekarang apa yang anda dah belajar?

1- Mengkaji niche untuk blog anda                           ✔
2- Membeli domain dan hosting                                ✔
3- Install theme untuk blog anda                               ✔
4- Optimumkan blog anda dengan setting SEO      ✔

Selepas dah belajar 4 perkara ni, anda sudah pun berjaya membina satu blog yang menarik tapi dari segi luaran sahaja. Seterusnya anda akan mula masukkan content(post) untuk blog anda.

Step 6 – Mencari topik blog yang sesuai

 

Sekarang ni bahagian teknikal sudah pun selesai. Jadi sekarang anda perlu mula menulis blog. Bermula dari bahagian ini anda akan bertukar profession. Jika bahagian atas tadi anda menjadi seorang Programmer sekarang anda akan menjadi seorang ahli seni.

Menulis blog memerlukan idea dan pengetahuan. Anda perlu pastikan tulisan anda itu boleh menarik pembaca untuk membaca blog anda sehingga habis.

Persoalannya, apa yang patut anda tulis di blog?

Bagi memudahkan anda menulis anda, kandungan blog anda perlu berkaitan dengan pengalaman peribadi, minat, kejayaan, kegagalan atau apa-apa sahaja benda yang baru anda temui.

Bila anda bercerita topik yang berkaitan dengan diri anda, cara penulisan blog anda juga akan lebih ikhlas dan anda gembira ketika sedang mengarang blog anda. Mana tidaknya, anda ibarat sedang menulis diari tapi diari anda itu dikongsi dengan ramai orang.

Jika anda masih tertanya-tanya mengenai topik untuk blog anda, anda boleh mulakan dengan persoalan yang anda sendiri tertanya-tanya. Contohnya, sekiranya persoalan anda sekarang adalah “Apa yang perlu ditulis diblog?”, jadi apa kata anda tulis satu blog yang bertajuk “Topik Yang Menarik Yang Boleh DiTulis DiBlog”

Tapi, itu mungkin topik yang kurang menarik buat anda, jadi tipsnya adalah mulakan menulis sesuatu yang menjadi tanda tanya anda.

Anda dah bersedia untuk mula menulis blog?

Sediakan sebatang pen dan kertas atau jika anda lebih selesa untuk menaip, buka software yang sesuai untuk menulis nota. (eg: Microsoft Word, Notepad)

Ada perlu dapatkan sekurang-kurangnya 5 jawapan untuk soalan di bawah.

Soalan 1 : Perkongsian apa yang boleh menarik minat pembaca anda.

Contoh:

▶ Jika saya seorang yang baru mula berniaga, saya akan berminat untuk tahu mengenai cara mulakan bisnes atau cara menjual yang betul.

▶ Sebagai seorang penjual kek saya berminat untuk tahu mengenai resepi-resepi kek yang terbaru.

▶ Sebagai seorang surirumah saya akan berminat dengan topik berkaitan kekeluargaan seperti kewangan atau susun atur rumah yang
menarik.

Soalan 2 : Apakah antara masalah yang dihadapi oleh pembaca anda.

Contoh :

▶ Peniaga yang baru bermula mungkin akan mengalami masalah takut untuk mulakan bisnes.

▶ Penjual kek akan ada masalah untuk menyiapkan tempahan pelanggan mereka.

▶ Surirumah akan menghadapi masalah untuk mendapatkan resepi masakan baru untuk dihidangkan kepada keluarga.

Soalan 3 : Ciri-ciri perwatakan pembaca anda.

Contoh :

▶ Ahli perniagaan perlu selalu positif.

▶ Penjual kek perlu kreatif.

▶ Surirumah seorang yang periang dan penyabar.

Soalan 4 : Apa yang pembaca anda suka.

▶ Ahli perniagaan suka pada keuntungan.

▶ Penjual kek suka bila pelanggan menikmati kek buatan mereka.

▶ Surirumah suka untuk menjadi seseorang yang boleh meluangkan masa dengan anak-anak dan keluarga.

Soalan 5 : Apa yang pembaca anda tidak suka.

▶ Ahli perniagaan tidak suka pada kerugian.

▶ Penjual kek tidak suka kek mereka hangus.

▶ Surirumah tidak suka dipandang rendah oleh orang lain.

Daripada senarai yang anda dah dapat, cuba keluarkan idea-idea untuk topik blog anda. Contoh topik berdasarkan senarai jawapan diatas:

  • Resepi CheeseCake
  • 7 Tips Mulakan Bisnes Tahun 2017
  • 3 Cara Mudah Bersihkan Sinki Anda
  • Resepi Masakan Setahun : 365 Resepi Mudah & Cepat
  • 9 Cara Marketing Untuk Beginner

Satu tips penting untuk anda. Pastikan tajuk post anda menarik. Pembaca akan membuat keputusan untuk terus membaca blog anda atau tidak hanya dengan melihat tajuk post anda. Jadi, tajuk memainkan peranan yang sangat penting yang menentukan berapa ramai yang akan membaca blog anda.

Step 7. Mula menulis karya agung anda

Menulis blog di WordPress adalah sama seperti anda menaip di Microsoft Word atau Notepad. Bezanya jika anda ingin menulis di Microsoft Word anda hanya perlu buka di desktop komputer anda. Tapi untuk WordPress, anda perlu log masuk ke WordPress sebelum menulis blog.

Untuk mula menulis blog, klik “Posts”.

Dibahagian ini anda akan dapat lihat senarai post yang anda pernah buat. Tapi jika anda baru mulakan menulis blog, anda tidak akan mempunyai apa-apa senarai post. Klik “Add New”.

Disini anda akan dapat lihat bahagian untuk anda mula menulis blog.

Anda perlu mulakan dengan meletakkan tajuk untuk topik blog anda. Klik pada kotak dibahagian bawah untuk mula menulis. Bila anda klik dikotak putih itu, satu permalink akan dipaparkan.

 

Klik “Toolbar Toggle” untuk paparkan senarai penuh option untuk edit.

Blog akan menjadi agak kurang menarik jika keseluruhan tulisan hanyalah teks semata-mata. Jadi anda perlu menambah beberapa gambar. Gambar boleh ditambah dengan klik pada “Add Media”. 

Gambar boleh diambil dari 2 tempat iaitu dari desktop anda ataupun dari library anda. Jika anda baru mula membina blog, senarai gambar di bahagian tab media library adalah kosong. Untuk ambil gambar dari desktop klik tab Upload Files > Upload.

Klik “Insert into post” untuk masukkan gambar ke post anda.

Nampak perubahan pada post anda?

Anda boleh menukar saiz gambar mengikut kesesuaian posting anda. Anda juga boleh letakkan hyperlink pada gambar anda. Hyperlinks bermaksud anda letak satu link lain jadi bila pembaca klik pada gambar tersebut mereka akan dibawa ke page lain.

Klik pada gambar, dibahagian atas gambar akan keluar satu paparan menu. Klik ikon pencil.

Contoh gambar yang telah diletakkan hyperlink. Jika anda pembaca yang klik pada gambar ini, satu page baru akan keluar.

Lengkapkan posting anda. Dah siap?

Kalau dah siap anda perlu teruskan untuk memastikan posting anda mengikut syarat-syarat SEO.

Dibahagian bawah anda akan dapat setting untuk SEO. Ada 4 perkara yang anda perlu lengkapkan untuk setiap posting.

  • SEO Title – tajuk post anda yang lebih specifik
  • slug – akan dimasukkan secara automatik oleh plugin SEO
  • meta description – terangkan mengenai posting anda
  • focus keyword – keyword yang berkenaan dengan posting anda

Anda perlu pastikan SEO title adalah sesuatu menarik. Bila seseorang mencari di carian Google mereka akan berminat untuk klik pada blog anda hanya jika tajuk yang anda letak kena dengan keyword yang mereka cari.

Cuba banyakkan warna hijau. Mungkin nak dapatkan semua hijau agak susah tapi elakkan posting anda banyak dengan warna merah.

Pernah tengok sharing macam gambar kat bawah ni? Ini adalah contoh blog yang ditulis di WordPress dan di share di Facebook. Seterusnya saya akan ajar macam mana nak bagi gambar macam kat bawah ni dipaparkan di Facebook anda.

Ada satu menu disebelah kiri skrin WordPress anda? Ada beberapa kotak antaranya Publish, Categories, Tags dan Featured Image. Di bahagian kotak Featured Image, klik pada tulisan biru “Set featured image”.

Pilih gambar yang sesuai dengan posting anda. Anda juga boleh mengambil gambar di desktop anda dengan klik pada tab Upload files dan klik Select Files. Dah ada gambar yang sesuai, klik pada gambar dan klik Set featured image.

Sekarang anda dah tulis blog, masukkan gambar dan betulkan SEO, jadi anda sudah pun siapkan satu topik untuk blog anda. Tapi sebelum anda publish blog anda, anda boleh semak bagaimana post anda akan dipaparkan di website anda.

Di bahagian kiri skrin anda, ada satu menu Preview. Klik Preview dan semak hasil tulisan anda.

Sebelum anda publish post anda, pastikan:

  • Semua ejaan adalah betul.
  • Kandungan yang teratur.
  • Masukkan Bulleted List.
  • Gunakan tajuk untuk pisahkan setiap isi atau point yang baru.
  • Gunakan bahasa yang sesuai.
  • Jika tulisan anda panjang, pastikan susunan post anda mudah dibaca.

Dah check semua? Dah puas hati? Sekarang anda dah boleh Publish post anda. Klik Publish dikiri skrin anda.

Dah Publish, boleh semak sekali lagi di website anda. Buka tab baru dan masukkan nama domain anda. Bagaimana post anda dipaparkan diskrin adalah bergantung kepada theme yang anda pilih.

Step 8 – Jana duit melalui blog

Menjana duit melalui blog bukanlah seperti Facebook Ads. Anda buat iklan terus ada pembeli. Anda memerlukan sedikit masa untuk bangunkan blog anda dan mula dapatkan duit melalui blog.

Anda boleh dapatkan audience yang tepat dengan menggunakan blog. Ada banyak cara untuk anda dapatkan audience melalui blog. Antaranya adalah melalui komen di post anda, newsletter atau melalui media sosial.

Tanya audience anda

Anda boleh bertanya soalan kepada pembaca blog anda di akhir setiap tulisan anda. Contohnya jika niche blog anda berkaitan dengan pakaian dan topik anda adalah “7 Fesyen Meletup 2017” anda boleh akhiri tulisan anda dengan bertanyakan soalan “Fesyen bagaimana yang anda semua suka?”.

Melalui jawapan yang mereka berikan di post anda, anda sudah berjaya dapatkan apa pembaca blog anda mahukan dari anda. Jika kebanyakan jawapan yang anda dapat adalah “Fesyen yang sesuai untuk hari raya”, apakah produk yang paling sesuai untuk dijual kepada mereka?

Gunakan jawapan dari pembaca blog anda dan jadikan mereka sebagai pelanggan produk mereka.

Jana duit melalui iklan

Jika anda tidak mempunyai produk atau servis yang ingin ditawarkan, anda juga boleh tawarkan bisnes iklan di blog anda. Tapi anda perlu pastikan blog anda mempunyai trafik yang tinggi sebelum anda tawarkan tempat iklan di blog anda.

Bila blog anda berjaya mencapai trafik yang tinggi, anda hanya perlu sediakan menjual satu tempat di blog anda khas kepada sesiapa ynag ingin meletakkan iklan mereka di blog anda. Apa yang anda perlu lakukan hanyalah dapatkan banner iklan dari pembeli yang berminat dan letakkan di blog anda dan hanya teruskan dengan menulis blog.

Menjual produk anda

Macam mana nak jual produk kalau blog anda adalah satu blog perkongsian?

Saya sendiri ada satu blog yang menjual. Niche blog tersebut adalah kurus. Trafik ke blog tersebut sekarang adalah lebih kurang 80,000-90,000 pembaca sebulan. Melalui blog ini saya menjual satu produk untuk kurus.

Apa yang saya perlu buat hanyalah berkongsi tips untuk kurus dan mengkaji masalah yang dialami oleh pelawat blog saya. Melalui masalah mereka ini saya akan cadangkan satu penyelesaian dengan menjual produk kurus.

Kesimpulan

Topik Tutorial (Step By Step) Cara Bina Website Perniagaan Menggunakan WordPress ini sebenarnya adalah satu perkongsian untuk membantu anda membina satu website sendiri. Anda juga akan lebih memahami maksud website dan kepentingan website kepada bisnes anda.

Sebenarnya untuk mula menulis blog adalah mudah. Tapi untuk menjana duit melalui blog memerlukan sedikit masa, tenaga dan kesungguhan dalam membina satu blog yang dilawati oleh ramai orang.

Mungkin akan sampai satu masa anda akan mula mengalah untuk menulis blog dan sebagainya, tapi percayalah bila anda berkongsi sesuatu yang anda suka secara automatik anda akan gembira ketika menulis. Blog yang anda kongsikan akan dibaca oleh seorang manusia.

Jadi ketika menulis, jadilah diri anda sendiri.

KALAU NAK BUAT SESUATU, BUAT SUNGGUH-SUNGGUH! TAK NAK BUAT TAK PAYAH BUAT!

• Meet the Author ➞ Fahdi Ghazali



4 comments… add one

Don’t Be Shy » Leave a Comment!