
Penting atau tidak jika kita beradab dengan guru kita?
Bagi saya ianya adalah sangat penting. Guru saya pesan kepada saya, ‘apabila kita hidup terutama sebagai orang Islam, kita bukannya kejar banyak tapi kita kejar hanya satu perkara iaitu berkat.’
Jadi, saya kongsikan 13 Adab Dengan Guru yang diajarkan oleh Imam Al-Ghazali melalui Kitab Bidayatul Hidayah.
1) Mendahului salam dan penghormatan kepada guru.
Bila kita ada kelas, kita yang akan pergi kepada guru dulu dan bukannya guru yang datang sebelum kita.
Sekiranya kita tak belajar untuk datang awal, maka keberkatan menjadi sedikit kurang. Dan sekiranya kita berselisih dengan guru di tepi jalan, kita yang akan memberi salam terlebih dahulu kerana ianya termasuk dalam adab dengan guru.
2) Tidak banyak berbicara di hadapan guru.
Banyakkan mendengar berbanding dengan bercakap di hadapan guru. Ada sesetengah orang, sewaktu guru tengah bercakap di hadapan dia akan bercakap di belakang malah ada yang menyampuk.
Jadi, ada keberkatan ke? Jawapannya ialah tak ada.
3) Tidak berbicara sebelum meminta izin daripada guru.
Jika kita ingin bertanyakan soalan tetapi guru masih belum menjawabnya maka tak perlu kita bertanya lagi.
Contohnya, Alhamdulillah sewaktu saya berjumpa dengan Habib Ali di majlis ilmu dan selepas itu Habib Ali membuka soalan pada sesiapa yang nak bertanyakan soalan dan menulis menerusi kertas kecil. Setelah itu, Habib Ali pun membaca soalan-soalan tersebut.
Maksudnya di sini, jika guru tidak meminta untuk membuka soalan, jadi janganlah kita bertanyakan soalan tanpa izin.
4) Mohon izin untuk berbicara kepada guru.
Jika guru mengizinkan, barulah kita boleh bertanyakan soalan kepada guru. Contohnya, “guru, izinkan saya minta pendapat atau pandangan?”. Jika guru mengizinkan maka kita bertanyalah dengan soalan tersebut.
5) Tidak menentang pendapat guru.
Samada dalam keadaan senyap atau kuat. Contohnya, ada orang yang menentang pendapat gurunya di hadapan gurunya.
Ada juga yang menentang pendapat gurunya melalui cara yang senyap, contohnya kita bercakap-cakap di belakang guru.
Disebabkan oleh itulah, kita tak dapat keberkatan dalam setiap apa yang kita pelajari. Malah ada di antara kita yang menuntut ilmu dan berniaga bertahun-tahun tapi masih di tempat sama, walhal belajar daripada guru yang sama.
6) Tidak menukil pendapat guru lain terhadap guru kita.
Dengan menyatakan pendapat guru adalah tak sama dengan guru lain. Jika kita bercakap sebegitu, makanya tak ada keberkatan di dalam ilmu yang dituntut.
7) Tidak memberitahu sesuatu yang berbeza dengan pendapat guru sehingga rasa diri itu sentiasa betul.
Janganlah mempunyai prasangka terhadap guru dengan mengatakan bahawa dirinya sentiasa betul. Malah, ada yang merasakan dirinya itu terlalu tinggi berbanding dengan gurunya.
8) Tidak menoleh kiri dan kanan sewaktu belajar dengan guru sebaliknya duduk dengan tenang dan tunduk ke bawah.
Jika kita pergi ke seminar-seminar atau kelas dan sewaktu di dalam kelas kita tak menumpukan perhatian. Misalnya, kita bercakap dengan orang lain, bermain dengan phone melalui WhatsApp dan sebagainya.
Apabila tak ada adab, maka tak adalah keberkatan.
9) Tidak banyak bertanya saat guru sedang lelah dan susah.
Guru kita tengah penat daripada mengajar tetapi kita asyik bertanya tanpa henti. Ini namanya tak ada adab, disebabkan daripada pertanyaan yang bertalu-talu menyebabkan guru menjadi tak senang.
10) Ikut berdiri ketika guru berdiri.
Jika guru berdiri setelah habis kelas, maka kita juga perlu berdiri untuk memberikan penghormatan kepada guru. Tapi sebaliknya, setelah habis kelas guru yang akan bangun berdiri tetapi kita jarang melakukan perkara sebegini.
11) Tidak meneruskan pertanyaan kepada guru di saat guru bangun dan berdiri.
Contohnya, guru sudah pun berdiri untuk meninggalkan ruangan kelas tetapi kita sibuk nak bertanyakan soalan. Adabnya akan menjadi kurang jika kita melakukan perkara tersebut.
12) Tidak bertanya ketika di jalan sebelum sampai ke rumah.
Misalnya, guru tu belum sampai di rumah atau pun ke kereta tetapi kita ni asyik sibuk bertanyakan soalan. Bukannya tak boleh, boleh sahaja cuma adabnya kurang.
13) Tidak berburuk sangka kepada guru.
Saya ingin menceritakan kisah antara Nabi Musa AS dan Nabi Khidir AS. Kisah ni bpleh jadi satu pengajaran buat kita supaya tidak berprasangka dengan guru.
Suatu hari, Nabi musa AS pergi berjumpa dengan Nabi Khidir AS dan bertanyakan jika Nabi Musa AS boleh belajar dengan Nabi Khidir AS. Nabi Khidir AS berkata,
“Tak ada masalah tapi dengan satu syarat, tak boleh bertanyakan soalan atas setiap perbuatan yang dilakukan oleh aku lakukan..”
Mereka pun pergi ke sebuah kampung dengan menaiki perahu. Tiba-tiba perahu tersebut dibocorkan oleh Nabi Khidir AS setelah mereka sampai di tebing sungai. Nabi Musa AS pun bertanya kepada Nabi Khidir AS tetapi Nabi Khidir AS hanya berdiam diri. Setelah itu, Nabi Khidir AS berjumpa dengan seorang kanak-kanak lalu dibunuhnya. Nabi Musa AS terkejut lalu bertanyakan mengapa Nabi Khidir AS berbuat begitu tapi Nabi Khidir AS hanya berdiam diri.
Mereka berjalan lagi sampai bertemu dengan penduduk di sebuah bandar. Nabi Musa AS dan Nabi Khidir AS meminta makanan tetapi tak dilayan oleh penduduk di situ. Tak lama kemudian, mereka ternampak tembok yang hampir runtuh dan Nabi Khidir AS membaikinya. Nabi Musa AS memberitahu Nabi Khidir AS bahawa dia tak perlu melakukannya secara percuma sebab penduduk di situ tak melayan mereka sebagai tetamu.
Setelah itu, Nabi Khidir AS memutuskan supaya Nabi Musa AS tak perlu lagi menemaninya dalam perjalanan seterusnya memandangkan Nabi Musa AS sudah pun melanggar syaratnya.
Tapi, Nabi Khidir AS memberikan maksud kenapa dia berbuat sebegitu. Perahu itu dirosakkan kerana ada seorang raja yang zalim, yang merampas setiap perahu yang baik. Kanak-kanak yang dibunuh itu pula semasa kelahirannya merupakan kegembiraan buat ibu bapanya yang beriman. Walaupun begitu, jika kanak-kanak dibiarkan terus hidup, dia akan paksa kedua mereka melakukan perbuatan zalim dan kufur.
Tembok yang dibina oleh Nabi Khidir AS pula sebenarnya milik dua orang budak lelaki yatim. Di bawahnya terdapat harta kekayaan yang tertanam untuk mereka. Bapanya merupakan lelaki soleh, menunjukkan bahawa zuriatnya dijaga dan rahmat-Nya kepada ibadat lelaki itu diteruskan di dunia sehingga akhirat.
Kesimpulan
Ada sebab mengapa guru berbuat sedemikian, kerana setiap tindakan guru ada makna di sebaliknya dan janganlah kita mempersoalkannya.
Jadi, penting atau tak kita belajar mengenai keberkatan?
Semoga ia membantu anda untuk mendapatkan keberkatan ilmu, In shaa Allah dan saya doakan anda apa sahaja yang anda lakukan ia akan berjaya. Saya ingin melihat anda membina perniagaan ini dengan berjaya dengan meliputi seluruh keturunan anda. In shaa Allah.
Btw, jika anda nak dapatkan lebih banyak tips bisnes, motivasi dan inspirasi usahawan, join Channel Telegram Fahdi Ghazali DISINI sekarang!