Raikan penyakit

Pagi tadi hidung tiba-tiba berdarah. Tak banyak. Mungkin disebabkan platelet low ditambah dengan bersin di waktu pagi menyebabkan bahagian dalam hidung sedikit luka.

1

Minggu ini, kesihatan juga sedikit berkurang. Sakit kepala hampir setiap masa. Badan sentiasa letih dan kurang bermaya walaupun selepas bangun tidur.

Sakit dan badan letih sebenarnya sudah cukup untuk buat rasa diri berkata malas, baik tidur dari kerja, duduk dan tidak berbuat apa-apa. Itu lebih bagus dan lebih ‘menyamankan’ dari memaksa diri.

Ahhh.. tapi itu soluso untuk orang yang cepat kalah. Orang yang kurang motivasi. Orang yang mudah dirasuk syaitan supaya lalai dan terus menyalahkan takdir.

“Orang yang mahukan dunia, perlukan ilmu. Orang yang mahukan akhirat perlukan ilmu. Orang yang mahu kedua-duanya perlukan ilmu”

Sedang saya melayan rasa pening dan keletihan, mama membuka siaran TV9 dan topik ketika itu dibincangkan host bersama dengan seorang doktor yang pernah didiagnos kanser usus tahap 4. Sekarang beliau bebas kanser. Beliau berikan ILMU yang boleh memadamkan rasa kecewa disebabkan sakit ini.

Saya semangat mendengar celoteh Dr tersebut.

Katanya, selepas didiagnos dengan kanser tahap 4, perkara pertama yang beliau lakukan adalah bertenang dan cuba untuk memujuk diri melihat natijah disebalik ujian yang Allah berikan.

“Kalau kanser stage 4, biasanya 50-50”

Saya boleh bayangkan perasaan beliau ketika mendapat khabar tentang penyakit itu. Saya sendiri pernah lalui saat diberitahu mengenai penyakit Idiopathic thrombocytopenic purpura  (ITP) yang saya hadapi hampir 3 tahun lalu.

Apa yang menakjubkan saya adalah, cara Dr tersebut ‘handle’ penyakit tersbut sehingga sembuh.

Pertama, perkara yang dilakukan adalah dia “Meraikan” sakit tersebut. Bagi saya, bukan semua orang boleh ‘suka’ dengan penyakit yang dihadapi. Malah biasanya membenci dan mengharap penyakit pergi jauh-jauh.

“Raikan penyakit ini. Bercakap dengan penyakit yang kita hadapi. Contohnya… hey sakit, kalau engkau asbab aku lebih dekat dengan Allah, aku redha. Malah aku raikan kau hadir”

Pada masa sama, ubah lifestyle. Tukar makanan kepada makanan yang lebih bersih, natural. Beliau menambah, beliau gunakan kaedah metafizik alam untuk membaik pulih badan dari kanser. Biarpun bunyinya pelik, tetapi ia benar-benar membantu dalam proses penyembuhan.

InsyaAllah, saya akan cuba aplikasikannya.

Mulai saat ini, saya akan raikan penyakit yang saya hadapi. Saya akan suka kepadanya! Dan semoga ia akan membantu saya dekat dengan Allah, dan elakkan diri dari melakukan dosa.

“Orang yang bijak adalah orang yang mengingati mati”

Mungkin dengan sakit, Allah sebenarnya sedang berbicara dengan kita.

Wallahualam.

• Meet the Author ➞ fahdighazali



0 comments… add one

Don’t Be Shy » Leave a Comment!